Posted by: wanhassan | June 20, 2011

Mengapa panik apabila PAS sebut Negara Berkebajikan?

Negara berkebajikan didefinisikan sebagai satu konsep kerajaan di mana negara mempunyai peranan utama dalam melindungi dan mempromosi kesejahteraan ekonomi dan sosial rakyatnya. Ia berdasarkan prinisp-prinsip keadilan peluang, pembahagian kekayaan sama rata dan tanggungjawab awam kepada mereka yang tidak mampu mendapatkan keperluan bagi menjalani kehidupan biasa.

Negara berkebajikan moden termasuklah Norway dan Denmark yang menggunapakai satu sistem dipanggil model Nordik. Negara berkebajikan membabitkan pemindahan secara terus peruntukan daripada kerajaan kepada perkhidmatan disediakan seperti kemudahan kesihatan, pendidikan dan juga secara terus kepada individu. Negara berkebajikan dibiayai melalui pengagihan semula pencukaian dan dirujuk sebagai sejenis ekonomi ‘ bercampur-campur’ – Wikipedia

Negara Berkebajikan bukan satu konsep baru; jika dilihat daripada definisi ini, ia sudah berkembang di negara-negara Eropah sejak abad ke-19 lagi. Kalau dirujuk kepada sejarah Islam, kebajikan rakyat menjadi antara perkara keutamaan Rasulullah s.a.w. sejak terdirinya negara Islam Madinah lebih 1,400 tahun lalu. Rukun Islam ketiga (ada menyatakan keempat) iaitu zakat adalah manifestasi keadilan Islam di mana orang berada mengeluarkan sebahagian kecil harta mereka yang sudah mencukupi syarat untuk diagihkan kepada lapan asnaf yang layak menerimanya termasuklah golongan miskin dan papa kedana (fakir). Ertinya rakyat daripada golongan kurang berkemampuan tidak sama sekali diabaikan, pemerintah wajib menyantuni mereka; salah satu caranya dengan memberikan hak mereka yang telah terhimpun dalam baitulmal negara.

Berdasarkan fakta ini, kita amat hairan mengapa ada pihak cepat melenting apabila PAS mengetengahkan idea Negara Berkebajikan melalui Ucapan Dasar Presiden pada muktamarnya yang ke-57 baru-baru ini. Dalam membidas pihak yang seolah-olah mempersenda-sendakan agenda perjuangannya, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata idea Negara Berkebajikan daripada apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah s.a.w. dan bukannya datang daripada idea mana-mana individu lain termasuk negarawan tersohor dunia termasuklah Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN dan Presiden Umno, Najib Razak.

Jadi, tiada apa perlu didengki atau ditakuti daripaada gagasan yang baik seperti Negara Berkebajikan itu. Sewajarnya sesuatu yang baik disokong (pemimpin Umno mendakwa konsep itu ditiru daripada mereka menunjukkan ia sesuatu yang positif) dan jika benarlah ia sudah dilakukan oleh kerajaan Umno-BN sewajarnya pihak berkenaan meningkatkan program kebajikannya kepada rakyat marhaen. Sehubungan itu jangan susahkan rakyat dengan menaikkan harga barangan keperluan dan kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air seperti yang berlaku baru-baru ini. Adalah tidak wajar sebuah kerajaan berkebajikan mengheboh serta mengungkit-ungkit betapa banyak subsidi sudah diberikan kepada rakyat pada ketika ia mengambil keputusan menaikkan harga sesuatu barangan atau perkhidmatan. Juga, adalah tidak wajar untuk sebuah kerajaan berkebajikan menakut-nakutkan rakyatnya sendiri dengan menguar-uarkan pelbagai perkhidmatan seperti kesihatan akan diswastakan di mana rakyat marhaen terpaksa menanggung beban tinggi kos rawatan.

Pada kita, jika benar pihak Umno-BN sudah berfungsi sebagai kerajaan berkebajikan, tidak ada apa perlu ia gusarkan daripada lontaran idea PAS dengan Negara Berkebajikannnya. Namun apabila pihak berkenaan menunjukkan rasa cemasnya termasuk cuba mempotretkan bahawa ia sudah lama menjalankan peranan berkenaan, kita yakin ia tidak berbuat demikian dan kini tersedar daripada mimpi panjang dan demi untuk meraih undi dan sokongan terpaksalah memperlekeh usaha murni pesaingnya. Lontaran idea Negara Kebajikan pada peringkat awal ini sudah pun menunjukkan kejayaan; pihak lawan terpaksa bangkit sedar, sekali gus membawa keuntungan besar kepada rakyat marhaen!









Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: