Posted by: wanhassan | November 9, 2010

Bahasa Kebangsaan : Adakah Kita Lebih Teruk Daripada Ayam?

Bahasa Kebangsaan : Adakah Kita Lebih Teruk Daripada Ayam?

oleh Khairul Sulaiman..

“Saya bukan kurang ajar, tetapi saya lebih baik kita cakap Bahasa Kebangsaan” beginilah lebih kurang dialog iklan terbaru Kementerian Kebudayaan, Komunikasi dan Penerangan di kaca tv. Ironinya iklan ini cuba menyampaikan mesej pengamalan bahasa kebangsaan.

Jalan ceritanya tersusun baik dengan babak seorang usahawan cina cuba bertanya jalan kepada seorang peniaga cina dalam bahasa mandarin tetapi tidak dihiraukan. Usahawan itu mula marah kerana tidak dihiraukan dan menganggap peniaga itu kurang ajar.

Di sini munculnya dialog “Saya bukan kurang ajar, tetapi saya lebih baik kita cakap Bahasa Kebangsaan” yang membawa makna amat mendalam mengenai pentingnya pengamalan bahasa kebangsaan tetapi persoalannya apakah mesej yang cuba dibawa dapat difahami rakyat Malaysia dan adakah saranan yang dilakukan peniaga cina itu benar-benar berlaku di dalam kehidupan seharian kita?

Mungkin tidak ada dan amat jarang sekali. Kalau ada pun mungkin dapat kita lihat di kalangan masyarakat baba dan nyonya di Melaka.

Apa yang saya fahami daripada iklan itu bukan hanya sekadar pengamalan bahasa kebangsaan tetapi sebenarnya adalah peranannya dalam perpaduan.

Kita tidak menghalang rakyat Malaysia bertutur selain bahasa kebangsaan tetapi kita sendiri boleh berfikir agak kurang elok dan kurang ajar apabila kita di dalam satu kumpulan berbilang bangsa bertutur dalam bahasa ibunda sendiri yang akan mengecilkan hati individu lain di dalam kumpulan kita. Kita harus menerima hakikat kita tidak hidup sendirian di dalam negara yang punya berbilang bangsa ini.

Saya amat sedih melihat iklan pekerjaan yang menulis keutamaan kepada mereka yang pandai bertutur bahasa ibunda sesuatu kaum sahaja, seolah-olah menutup peluang kepada bangsa lain dan mengabaikan pengamalan bahasa kebangsaan.

Ada kisah menarik mengenai perkara ini yang dapat kita renungkan bersama. Rakan saya yang dalam lawatan ke Itali beberapa bulan lalu cuba memberi makanan kepada ayam milik seorang rakan di sana. Beliau cuba berkali-kali tetapi gagal dan berputus asa.

Tetapi amat menghairankan rakan beliau yang berbangsa Itali dengan mudah sahaja dapat memberi makanan kepada ayamnya. Rakan saya bertanya, kenapa beliau gagal sedangkan pemuda itu melakukan dengan mudah. Dengan spontan pemuda itu menjawab “Ayam Itali tidak faham bahasa Inggeris”.

Walaupun peristiwa ini diakhiri dengan gelak ketawa tetapi kita selaku orang Malaysia pun seharusnya terasa kerana ada di antara kita yang bergelar warganegara Malaysia tidak menguasai bahasa kebangsaan iaitu bahasa melayu dengan baik.

Ayam yang tidak boleh berfikir seperti kita pun boleh menghayati pengamalan bahasa dengan hanya makan apabila di ajak makan dalam bahasa Itali, kenapa kita pula tergamak menyiarkan iklan pekerjaan yang hanya mensyaratkan pengamalan bahasa ibunda sesuatu kaum sahaja dan menganaktirikan bahasa kebangsaan?

Adakah kita lebih teruk daripada ayam?

Secara jujurnya, saya merasakan masalah ini adalah hasil daripada sistem pendidikan kita yang gagal dalam memupuk pengamalan bahasa kebangsaan. Sehinggakan sesetengah daripada kita hanya mengutamakan bahasa ibunda kita sahaja dan ada yang mengagungkan bahasa asing serta merojakkan bahasa.

Situasi ini tidak menghairankan kerana di Malaysia ini kita mempunyai ramai pakar tetapi mereka tidak diberi peluang dalam melaksanakan idea dan menggunakan kemahiran mereka. Lihat sahaja pasukan bola sepak Malaysia yang jauh ketinggalan, kerana apa kerana kegagalan kita meletakkan orang yang sepatutnya di tempat yang sepatutnya.

Tender diberikan kepada mereka yang hanya mengutamakan keuntungan dan tidak punya kemahiran.

Akhirnya memberi natijah dan pembaziran seperti projek terbengkalai dan sebagainya.

Begitu juga dalam pengamalan bahasa kebangsaan ini. Berapa lama lagi kita perlu gagal dan terus gagal?


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: