Posted by: wanhassan | October 23, 2010

Jentera PAS turun dengan ‘underdog’ di Galas

GUA MUSANG, 22 Okt: Walaupun dilihat mendahului BN, namun jentera pilihan raya PAS di Galas meletakkan diri mereka underdog (di belakang) dalam gerak kerja pilihan raya kecil ini.

“Kalau di Manik Urai undi popular kita merosot 6 peratus dalam pilihan raya kecil berbanding undi kita dalam pilihanraya umum, maka di Galas kita meletakkan kita ketinggalan 6 peratus juga iaitu dari menang dengan 54 peratus dalam pilihan raya umum kepada kalah iaitu 48 peratus sahaja sekarang,” kata Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (gambar), Penasihat jentera pilihan raya PAS di Galas.

Sikap ini diambil oleh jentara plihan raya PAS berdasarkan pengalaman Pakatan menghadapi dua pilihan raya penting yang memberikan banyak pengajaran kepada PAS.

“Semasa di Manik Urai, kita ambil pendekatan bertahan kerana kita sudah menang. Terbukti, ia merugikan kita sehingga kita hampir kalah. Berbanding dengan jentera Pakatan di Sibu yang meletakkan kita kalah. Kita berusaha sehinggalah kita menang di sana,” kata Wan Rahim yang merupakan penasihat jentera pilihan raya itu.

Wan Rahim, anggota Parlimen Kota Bharu pernah bertanding melawan Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang dan dia kalah. Dia juga pernah menjadi Yang Dipertua PAS Gua Musang sebelum ini.

Kalau dilihat dari mata kasar, PAS nampaknya terus mendahului Umno dalam kempen pilihan raya kecil Dun Galas apabila melancar jentera pilihan rayanya 19 Oktober lalu.

Umno masih lagi tenggelam dalam kemelut dalaman apabila difahamkan wujud dua kem utama dalam Umno Gua Musang iaitu kem bekas Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dengan kem Umno asal yang dipimpin Saufi Deraman yang mendapat sokongan padu Wanita dan Pemuda Bahagian.

Kehadiran ribuan penduduk tempatan dalam majlis pelancaran itu memberi satu isyarat Dun Galas seakan-akan sukar digugat Umno biar pun mempertaruhkan Tengku Razaleigh sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di Galas.

Di antara ribuan yang hadir dengan bersesak-sesak di hadapan Markas Besar PAS Dun Galas adalah masyarakat bukan Islam termasuk orang Cina dan India.

Situasi itu kelihatan berlainan berbanding dengan pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas kerana tiada ragam kaum yang hadir pada pelancaran jentera pilihan raya PAS.

Pilihan raya umum 2008

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS, Dr Zulkefli Muhamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 317 undi untuk Dun Galas dalam pertembungan mereka untuk merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

Namun Ku Li memenangi kerusi itu selepas menang lebih besar di dua Dun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri yang juga terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Menurut kajian sebuah badan bebas, pengaruh peribadi Ku Li hanya 30 peratus sahaja di Gua Musang. Selebihnya adalah sokongan daripada Umno. Jika Ku Li bukan calon dalam pilihan raya ini, bermakna pengaruh peribadi itu akan hilang.

Seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya ini dengan Melayu berjumlah 7,123 atau 61.67 peratus dari jumlah pemilih itu. Cina 2317 (20.06 peratus), Orang Asli 1,889 (16.35 peratus) manakala India 185 (1.6 peratus).

Kubu utama PAS dalam pilihan raya ini adalah daerah mengundi Sungai Terah yang mempunyai pemilih seramai 1,912. Dalam pilihan raya umum lalu, 68.45 peratus telah mengundi Dr Zulkifli (undi Parlimen) dan 68.56 peratus mengundi Che Hashim Sulaima untuk undi peringkat Dun Galas.

Kekuatan PAS terletak di Lembaga Kemajuan Tanah Sungai Terah yang mempunyai 1,380 pengundi. Mereka adalah peneroka asal yang dihantar oleh kerajaan negeri pimpinan Datuk Asri Muda untuk membuka tanah kawasan itu.

Daerah mengundi yang paling ramai adalah Kampung Bharu yang 52.60 atau 1131 pengundinya adalah kaum Cina. Selebihnya iaitu 999 pengundi atau 46.47 peratus adalah Melayu.

Dalam pilihan raya lalu, 52.41 peratus memberikan undi kepada Dr Zul (Parlimen melawan Ku Li) manakala 55.91 peratus memberikan undi kepada Che Hashim.

Dalam pilihan raya umum lalu juga, PAS hanya kalah di Kampung Pulai yang mempunyai pemilih seramai 471 di mana 83.86 peratus atau 395 orang adalah pengundi Cina.

Namun menurut Nasir Daud, Penyelaras Operasi bilik gerakan PAS di Galas, isu yang melanda pengundi kawasan ini sudah dikenalpasti. Beliau yakin, pengundi Cina kawasan ini akan kembali kepada PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Keutamaan pengundi

Dengan data-data inilah, jentera PAS yang disokong Pakatan Rakyat dan jentera Umno yang disokong BN akan berebut pengaruh dalam pilihan raya ini.

Namun, isu utama yang menjadi pengkiraan pengundi kawasan ini tetap kepada apa yang mereka untung atau rugi jika mengundi BN dan apa yang mereka untung atau rugi jika mengundi PAS.

Yang pasti, jika mereka memilih PAS, penduduk kawasan ini termasuk Gua Musang keseluruhannya akan mendapat seorang wakil yang boleh menghubungkan mereka dengan kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Tanpa wakil PAS bermakna, mereka terputus hubungan dengan kerajaan negeri. Urusan paling penting bagi penduduk di sini adalah hak dan pemilikan tanah. Ia adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

Jika mereka memilih calon BN, ia hanya menambahkan seorang sahaja lagi wakil mereka kerana BN sudah ada anggota Parlimen di situ dan dua Adun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri sudah Adun BN. Ketiga-tiganya sudah lebih dari cukup untuk mewakili mereka dalam berurusan dengan kerajaan Pusat.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: