Posted by: wanhassan | October 19, 2010

Janji di Manek Urai belum selesai

Janji di Manek Urai belum selesai

PENDUDUK di kampung Manek Urai hairan tiba-tiba dua papan iklan projek Barisan Nasional (BN) didirikan berhampiran jambatan menuju ke Kampung Manek Urai Lama.

Pada awalnya hanya di sebelah kampung baru dipasang papan tanda projek tertera gambar dacing. Tidak lama kemudian dipasang pula papan projek BN di Kampung Manek Urai Lama.

Namun papan tanda yang didirikan di Kampung Manek Urai Lama tidak tertera nama kontraktor, sedangkan di kampung baru ada nama kontraktor iaitu Salabumi (M) Sdn Bhd.

Kata orang kampung mengapa seperti tergesa-gesa sangat sehingga ada kepincangan di sana-sini. Lebih mengelikan lagi apabila rumah kontena pula diangkut ke tanah milik penduduk tidak jauh dari jambatan sedia ada Sabtu lepas.

Kemungkinan besar pemilik tanah tersebut pun belum dimaklumkan mengenai penggunaan tanahnya dijadikan tapak pejabat kontraktor.

Lebih menghairankan segala permohonan ke Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai bagi pengambilan tanah belum dibuat sehingga sekarang.

Malah difahamkan cadangan projek berkenaan juga tidak dibawa ke pejabat JKR Kuala Krai.

Menurut sumber mesyuarat mengenai cadangan membina jambatan baru yang dijanjikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Julai 2009 dibincang pada mesyuarat di JKR Kesedar di Tanah Merah, semalam.

Perbincangan itu katanya hanya melibatkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan JKR Kesedar.

Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah berkata, jelas kelihatan projek jambatan baru di Manek Urai dibuat dalam keadaan tergesa-gesa sehingga kelihatan banyak kecacatan.

”Orang kampung sedar pada awalnya papan tanda projek pembinaan jambatan tidak dilekatkan nama kontraktor, tetapi beberapa hari kemudian baru ditampal.

”Penduduk yang tinggal berdekatan dengan projek pun belum diberitahu pengambilan tanah yang akan dibuat. Ini betul-betul projek mee segera kerana pilihan raya kecil di Galas,” katanya di sini.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya projek itu benar-benar menjadi kenyataan, ia dapat memberi keselesaan kepada penduduk kerana jalan di atas jambatan menjadi dua lorong.

Namun hairannya mengapa baru ketika kehangatan kempen pilihan raya di Galas JPP tergesa-gesa mahu memberitahu penduduk janji membina jambatan baru tetap ditunaikan.

Agak melucukan juga cadangan pembinaan kompleks sukan di Manjor yang disebut menteri sudah siap 20 peratus, rupa-rupa baru diratakan tanah.

Kerja-kerja menyodok pula baru dilakukan seminggu dua ini. Jauh sekali untuk sampai 5 peratus.

Bahan-bahan binaan seperti kayu atau besi pun tidak kelihatan. Ini keanehan yang dipamerkan Umno dalam suasana menghadapi pilihan raya kecil Galas.

Belum sempat segala janji di Manek Urai menjadi kenyataan tiba-tiba dinukil pula janji baru di Gua Musang.

Projek perumahan rakyat bernilai RM300 juta ditabur pula di Gua Musang. Projek itu dijangka akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri pada 24 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti, Alam Sekitar, Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman berkata, sebelum menabur janji-janji baru lebih baik kerajaan pusat mempercepatkan pembinaan jambatan Sultan Yahya kedua yang sudah melewati tempoh.

Isu yang cuba digimikkan di Gua Musang hanya terbeban di bahu pengarah pilihan raya BN di Galas, Tengku Razaleigh Hamzah.

Banyak pihak hairan dengan kemunculan Ku Li secara tiba-tiba.

”Mengapa tiba-tiba baru sekarang pemimpin tertinggi Umno mahu cari Tengku Razaleigh Hamzah,” tulis veteran Umno, Tan Sri Abdullah Ahmad dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Abdullah juga menulis seorang pegawai tadbir memberitahunya, dahulu Umno berpeluang baik tetapi perkembangan muktahir dalam situasi Kelantan nampaknya tidak memihak kepada Ku Li dan Umno.

Ku Li galas beban Umno

Nampaknya percaturan Umno menghadapi pilihan raya kecil diletak sepenuhnya di bahu anggota parlimen Gua Musang.

Ada pihak berhujah taktik tersebut menjadi penyambung hayat kepada Ku Li dalam karier politik.

”Menang Ku Li di Galas bermakna masa depan politik masih ada, tetapi kalau sebaliknya, ’hayat’ politiknya berakhir di situ,” kata seorang penduduk dari Kampung Batu Papan.

Kampung tersebut merupakan kubu kuat Umno di Gua Musang. Namun pada pilihan raya umum Mac 2008, PAS mendapat kedudukan agak selesa dengan sokongan 54.03 peratus.

PAS mendapat kelebihan 92 undi di ketiga-tiga saluran mengundi di kubu tradisi Umno di Batu Papan.

Sedangkan sebelum itu PAS sukar menembusi kubu tersebut. Malah tenaga pengkuliah agama kerajaan negeri juga tidak mendapat ruang untuk mengajar di masjid dan madrasah kampung berkenaan.

Penempatan terbabit mempunyai kira-kira 500 rumah.

Seorang pendakwah, Mohd Zaki Mat Zin, 38 berkata, guru agama dari Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan belum mendapat ruang mengajar di kampung tersebut.

”Sehingga sekarang Unit Dakwah Halaqat tidak diberi peluang biar pun di tempat-tempat lain masalah seperti itu tidak timbul,” katanya ketika ditemui sini.

Seorang warga emas Harun Majib, 67 mengakui Batu Papan menjadi kubu tradisi Umno sejak zaman berzaman.

Katanya, kawasan itu sukar ditembusi PAS kecuali pada pilihan raya umum lalu apabila Chek Hashim Sulaima menang.

”Itu merupakan satu sejarah. Pakcik melihat itu kelebihan yang ada pada Chek Hashim sehingga mudah diterima penyokong Umno,” katanya.

Bagaimanapun di tujuh peti undi lain terutamanya membabitkan pengundi di kalangan Orang Asal, kekuatan PAS di bawah 40 peratus, kecuali di Unit Peti Undi (UPU) Hau.

Kekuatan PAS juga agak seimbang berbanding Umno/Barisan Nasional (BN) di UPU Kampung Pulai iaitu 47 peratus.

PAS juga mempunyai kedudukan agak selesa di kawasan pengundi bercampur Melayu dan Cina.

Umno benar-benar mengharapkan sentuhan Ku Li bagi mendapat kekuatan baru di Galas, selepas tercicir ke tangan PAS pada Mac 2008.

Malah Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan pengharapan sepenuhnya kepada Ku Li.

Sebaik sahaja Chek Hashim meninggal dunia, Muhyiddin membuat kenyataan melantik Ku Li sebagai pengarah pilihan raya BN di Galas.

Biar pun kenyataan itu melukakan perasaan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, namun dalam situasi Gua Musang, pemimpin Umno di Kuala Lumpur belajar ’melutut’ semula kepada Ku Li.

Mustapa perlu menerima hakikat Gua Musang bukannya Jeli yang menjadi kubunya sejak dua penggal lalu.

Namun dalam konteks Gua Musang Mustapa perlu membisu dan hanya akur segala arahan Ku Li sebagai pengarah pilihan raya BN.

Bagaimanapun mengapa pula tiba-tiba Ku Li menafikan mempunyai hubungan dingin dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri terbabit.

Ku Li vs Mustapa

”Saya tidak ada masalah bekerja dengan Mustapa bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Galas,” kata Ku Li sekembali dari bercuti di London.

Penafian Ku Li itu mengundang rasa pelik. Kata orang kalau tidak ada angin masakan pokok boleh bergoyang.

Inilah realiti yang berlaku di Kelantan sekarang. Ku Li pernah dilantik semula sebagai Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan ketika menghadapi pilihan raya umum 1999.

Namun tidak lama selepas Ku Li gagal mengulangi kejayaan merampas Kelantan pada 1978, Mustapa pula menggantikan Ku Li di Perhubungan Umno.

Peristiwa lama Mustapa ’merebut’ tempat Ku Li menyebabkan luka lama berdarah kembali. Maka tidak hairanlah tiba-tiba Ku Li menyebut hubungan dengan Mustapa elok.

Kecamuknya dapat juga dilihat apabila Ku Li Isnin lalu memberitahu pucuk pimpinan Umno belum lagi membincangkan soal siapakah calon BN pada pilihan raya kecil Galas.

“Belum ada sebarang keputusan dibuat, tiada perbincangan mengenainya,” kata Ku Li selepas mengadakan pertemuan dengan Najib di parlimen.

Malah katanya calon yang bakal mewakili BN akan diumumkan selepas Perhimpunan Agung Umno yang akan berakhir 23 Oktober nanti.

“Pengumuman itu akan dibuat Perdana Menteri,” ujar Ku Li kepada media.

Konflik menentukan calon BN di Galas lebih ketara berbanding pilihan raya kecil Manek Urai pada Julai tahun lepas.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishamuddin Hussien memberitahu pucuk pimpinan parti menyerah kepada Ku Li untuk memutuskan sama ada bersedia menjadi calon atau sebaliknya.

Penglibatan langsung Ku Li di Galas juga memberi ruang isu royalti minyak geger semula. Namun, kata Ku Li tiada siapa berhutang dengan sesiapa pun dalam isu royalti.

“Saya ke depan dalam isu itu kerana Allahyarham Tun Abdul Razak mahu rakyat di Pantai Timur memperoleh manfaat dari pendapatan minyak,” katanya.

Pusingan awal ini menampakkan isu calon menjadi stigma agak kronik bagi Umno.

Ku Li juga sedia mempertaruhkan anak didiknya iaitu setiausaha bahagian, Abdul Aziz Yusof atau Naib Ketua Pemuda Gua Musang, Zamzani Harun boleh menjadi galang ganti dirinya di Galas.

Apa yang seakan pasti Ketua Pemuda, Bazlan Baharudin atau Ketua Wanita, Datuk Hazani Mohd Nor bukan pilihan Ku Li.

Sebaliknya situasi berlainan berlaku dalam PAS. Tidak kedengaran ribut kecuali sekadar kocakan air dalam cawan.

PAS Gua Musang tidak ketandusan tokoh muda. Pemangku Yang Dipertua (YDP) kawasan, Dr Zulkifli Muhamad, 44, (kiri) Naib YDP, Husin Embong, 45, (tengah) dan Ketua Dewan Pemuda PAS, Ustaz Abdullah Husien, 38 boleh menjadi pilihan terbaik.

Kesemua mereka lulusan universiti dalam dan luar negara. Dr Zulkifli lulusan perubatan Universiti Malaya. Pernah berkhidmat di Hospital Kota Bharu dan terakhirnya di Pusat Kesihatan Ciku 3. Sekarang mengendali klinik sendiri di Cikuu 3.

Hussin pula lepasan bidang kejuruteraan di England. Kini seorang ahli perniagaan yang berjaya di Gua Musang.

Ustaz Abdullah pula lepasan Universiti Al Azhar, Mesir. Selama lima tahun beliau belajar agama di Mesir. Pernah menekuni ilmu di Pondok Kandis Bachok.

Sekarang berkhidmat tenaga pengajar di Unit Dakwah Halaqat. Isterinya, Ramlah Abu Samah juga lepasan Al Azhar.

Biar apa pun calon PAS dijangka diketahui pada malam 21 Oktober ini. Ceramah perdana pengisytiharan calon tersebut turut menampil Penasihat Keadilan, Datuk seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Apa yang pasti pusingan awal memperlihatkan Umno tenggelam dengan masalah dalaman. Silap percaturan misi Umno gagal lagi di bawah Ku Li.


Responses

  1. SEDAP JUGAK KOMEN NI..TAPI APA YG SAYA LIHAT JANJI BN ADA NAMPAK DAN DIKALSANAKAN TAPI JANJI PAS TAK NAMPAK LANGSUNG. APA DAH JADI..JANGAN JADI PEMBOHONG POLITIK KELAK MATI MASUK NERAKA..TAK INGAT MATI KE?

  2. BERBAIK-BAIKLAH SESAMA MELAYU SESAMA ISLAM BUAT APA BERGADUH. POLITIK BUKAN BERERTI FITNAH DAN PERPECAHAN..NANTI DATANG KEMURKAAN ALLAH BARU PADAN MUKA..INGAT TU PESAN WAKSIR


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: