Posted by: wanhassan | March 6, 2010

MENCARI KEBENARAN DALAM UMNO??

Gelora Umno Tanah Merah
Mencari Keadilan Dalam Umno

DALAM usaha membasuh Umno yang dibahan tsunami dalam pilihan raya umum lalu, presidennya, Mohd Najib Razak sudah lengah mulut meminta supaya ahli Umno berkerja kuat, ikhlas dan jujur bagi menjadikan Umno sebuah parti berintergriti. Seruan untuk mengukuhkan Umno itu juga menjadi aspirasinya untuk mendualatkan kalimah, rakyat didahulukan pencapaian diutamakan.

Pendahuluan itu tentulah diutamakan di kalangan ahli Umno sebab merekalah yang menjadi pendokong kelangsungan hayat Umno. Seramai lebih 3 juta ahli Umno patut diutamakan. Manakala pencapaian itu pula boleh dimaksudkan, sesuatu kerja termasuk kepedualian itu biarlah sampai ke tahap membanggakan dan memberi kesan berlandaskan prinsip yang benar.

Di sini memerlukan ketelusan, kejujuran dan tidak bersikap double standard. Rakyat dan ahli Umno harus dilihat sama rata tanpa dibezakan status kedudukan dan marga keturunan mereka.

Apakah maksud ini tercapai dan sudah diamalkan dalam Umno?
Apakah pemimpin tertinggi Umno atau mereka yang memegang kuasa sudah mekasanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik? Dan apakah ahli bawahan telah dapat merasai mereka dilayan sama rata dan sama adil sesuai prinsip dijunjung perlembagaan parti dan perlembagaan negara?

Kalau berpandukan kepada nasib yang menimpa bekas Setiausaha Umno Bahagian Tanah Merah, Amran Abdul Rahman (foto) nampakkan cita-cita dan harapan Najib itu masih berlegar dalam retorik dan slogan saja. Ia hanya manis dibibir mulut tidak lebih dari itu. Apa yang dialaminya salah satu contoh bagaimana Umno masih belum berganjak dari kedudukan asalnya yang membawa kepada penyakit dan kebencian ahli kepada parti itu. Intergriti kepimpinannya masih boleh dipertikaikan.

Keadilan yang diharapkan dari Umno dengan berpandukan kepada apa yang berlaku ke atas Amran masih jauh panggang dari api. Keadilan dan kesaksamaan itu sepertilah mengharapkan sisik dari keli ataupun menanti kucing tumbuh tanduk.

Undang-undang atau perlembagaan parti digunakan bukan untuk menegak keadilan, tetapi membela orang-orang tertentu. Perlembagaan dijadikan pisau untuk membunuh orang yang tidak disenangi. Manakala kuasa yang diamanhkan rakyat pula dijadikan penyelamat untuk membela kronis. Dan disebabkan dia (Amran) hanya ahli yang tidak berkedudukan, maka dengan mudah Umno menafikan haknya dan memecatnya kerana demi menyelamatkan orang lain yang berkedudukan dan mempunyai hubungan telus dengan ibu pejabat parti. Di sini ada babak dua darjat.

Amran Abdul Rahman seorang pendidik yang berjuang dalam Umno atas slogan untuk Bersatu, Bersetia dan Berkhidmat, mungkin perlu merasa kecewa atas apa yang dialaminya. Tidak salah kalau beliau mulai membenci dan tidak percaya kepada parti itu dengan apa berlaku ke atasnya. Kejadian yang menimpa dirinya menjadi pengajaran cukup berguna yang juga perlu dihayati oleh orang lain untuk menilai senario dalam parti itu.

Atas dasar untuk memperbetulkan Umno sebagai sebuah pertubuhan yang berwibawa sesuai dengan usianya, beliau telah meminta perintah mahkamah agar menghalang ketua Umno bahagian Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz melakukan transaksi ke atas tanah, bangunan dan akaun Umno bahagian itu. Tindakan itu diambil oleh Amran kerana kedudukan Ikmal sebagai ketua bahagian dianggap tidak sah.

Permohonan yang dibuat pada 17 Febuari 2010 itu telah diterima mahkamah. Ekoran itu menyebabkan Ikmal tidak boleh melakukan transkasi ke atas beberapa harta dan akauan itu. Perintah itu secara tidak langsung menjatuhkan imej Umno bahagian Tanah Merah dan ia menggambarkan Umno bahagian itu sebagai tidak sah.

Amran bukan isengan dalam membawa permohonan itu ke mahkamah. Beliau mempunyai hujah yang kuat kerana mempercayai kedudukan Ikmal sebagai ketua bahagian tidak sah semasa beliau bertanding jawatan ketua cawangannya iaitu Pondok Lama, Tanah Merah telah dibatalkan oleh Pendaftar Pertububuhan bertarikh 10 November 2009.

Berdasar bukti-bukti itu menyebabkan Amran mengambil tindakan mahkamah dan kepincangan itu dibersihkan dengan harapan Umno bahagian itu akan dipimpin oleh mereka yang sah kedudukannya.

Pada 1 Mac lepas mahkamah telah mendengar permohonan pihak Ikmal untuk mengenepikan permohonan Amran. Bagaimana pun mahkamah menolak permohonan itu dan mengekalkan perintah menghalang Ikmal melakukan transaksi ke atas hartanah dan akaun kewangan Umno Tanah Merah.

Amran tidak terkilan kalau proses permohonan untuk menolak permohonan beliau itu dijalankan dengan betul dan profesional. Tetapi apa yang mendukacitanya apabila ada unsur-unsur campur tangan jelas oleh pihak ibu pejabat Umno yang bertujuan hendak menyelamatkan Ikmal.

Sebagai buktinya keahlian Amran sebagai ahli Umno telah dipecat pada 10 Februari. Pemecatan secara back dated ini bertujuan dijadikan bukti di mahkamah bahawa Amran tidak mempunyak hak, tidak ada locus standi untuk membuat permohonan itu ke mahkamah. Malangnya mahkamah tidak menerima alasan pemecatan itu atas alasan permohonan yang dibuat Amran bukan menyerang parti tetapi melibatkan individu, Ikmal.

Bagi Amran tindakan memecatnya itu satu yang dirancang dan ianya dianggap tidak adil.

Kalaupun hendak membela Ikmal tetapi kenapa harus dilakukan tektik itu? Cara ibu pejabat Umno membela Ikmal itu jelas sangat untuk membela kroni.

Seperti mana Amran jelaslah beliau terpaksa membawa kes itu ke mahkamah setelah jalan penyelesaian secara baik tidak berhasil. Adalah tidak betul katanya kalau pemecatan beliau untuk dijadikan bukti pembelaan dibuat kerana beliau membelakangkan parti. Katanya beliau telah membawa kes itu ke hulu ke hilir termasuk ke ibu pejabat tetapi dilayan endah tidak endah saja.

Dalam kes ini Amran juga melahirkan rasa sedih dan terkilan atas sikap pengerusi perhubungan Umno Kelantan, Mustapa Mohamed yang tidak mengambil berat kes ini. “Saya rasa beliau tidak mempunyai wibawa sebagai seorang ketua kerana tidak mempunyai ketegasan dalam membuat keputusan,” komen Amran. Katanya setiausaha politik Mustapa ada memberi jaminan kononnya kes itu akan diselesaikan selepas pilihan raya kecil Manik Urai, tetapi bila dihubungi pegawai berkenaan selepas pilihan raya itu telefonnya tidak terangkat sampai kini.

Dengan apa yang berlaku Amran meragui di manakah janji dan ikrar ahli-ahli Umno bersama presiden untuk mengembalikan kekuatan dan kredibiliti parti Umno kalau hal-hal pilih kasih atau tindakan sayang bertompok benci merata berterusan dalam Umno. “Saya bimbang kalau ini beeterusan menyebabkan keyakinan orang ramai kepada Umno makin menipis,” ujarnya Amran.

Catatan: Dalam satu pertemuan dan percakapan dengan Amran Abdul Rahman, dua tiga hari lalu. [wm.kl 9:50 am 06/03/10]
Posted by mso.im at 9:50:00 AM 0 comments


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Categories

%d bloggers like this: